SLE Dan Kehamilan - Dayang Deno

30.4.13

SLE Dan Kehamilan

Sebelum ini, deno pernah berkongsikan pelbagai penerangan mengenai SLE... jika korang tertinggal korang boleh klik SINI
Hari ni pula deno nak berkongsi tentang SLE dan kehamilan.. :)


Fakta Ringkas
** Bagi pesakit SLE, kesuburan lazimnya tidak terganggu, walaupun aktiviti penyakit dan sesetengah ubat boleh menjejaskan kitaran haid
** Merancang kehamilan adalah penting
** Pesakit itu mestilah tidak mempunyai apa-apa gejala SLE dan penyakit tidak aktif sekurang-- kurangnya enam bulan sebelum hamil
** Oleh kerana SLE boleh menjadi lebih aktif semasa kehamilan, maka amatlah penting bagi pesakit berada di bawah jagaan doktor semasa hamil
Walaupun kehamilan bagi seseorang yang mengidap Sistemik Lupus Erithematosus (SLE) dianggap satu risiko tinggi, kebanyakan wanita dapat mengekalkan kehamilan mereka hingga ke peringkat akhir. Namun demikian, harus ditekankan bahawa merancang kehamilan adalah penting. Sebaik-baiknya, seseorang wanita tidak mempunyai apa-apa gejala SLE dan penyakit tidak aktif sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kehamilan.

Masalah sewaktu Kehamilan
Amat mustahak bagi seseorang pesakit SLE yang hamil berada di bawah jagaan doktor semasa kehamilannya. Ini adalah kerana lebih tinggi kemungkinan penyakit menjadi aktif bagi pesakit SLE yang hamil berbanding yang tidak hamil. Keadaan ini berlaku terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga dan yang paling kerap, selepas kelahiran bayi. Ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada tahap hormon semasa kehamilan, iaitu pertambahan pada tahap estrogen. Oleh sebab itu, rawatan segera adalah penting untuk menjaga kesihatan si ibu. Biasanya, keradangan buah pinggang lebih kerap berlaku sementara sakit sendi berkurangan.

Fakta-fakta yang harus diambil kira:
Wanita yang mengidap SLE mempunyai kadar keguguran serta kelahiran tidak cukup bulan yang lebih tinggi berbanding dengan orang ramai

Wanita yang mempunyai antibodi antifosfolipid (Antiphospholipid syndrome) mempunyai risiko keguguran yang lebih semasa trimester kedua disebabkan pembekuan darah yang lebih tinggi di dalam uri

Pesakit SLE yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami pra-eklampsia (tekanan darah tinggi akibat pertambahan cecair berlebihan dalam sel-sel tisu dalam badan)

Wanita hamil yang mengidap SLE, terutamanya mereka yang mengambil kortikosteroid, juga bekemungkinan mendapat tekanan darah tinggi, kencing manis, serta komplikasi buah pinggang. Oleh yang demikian, rawatan susulan dan pemakanan yang baik semasa kehamilan amat perlu
Adalah dinasihatkan untuk melahirkan bayi di institusi kesihatan yang mempunyai kelengkapan rawatan rapi bagi bayi (sekiranya bayi mengalami apa-apa masalah)
Pengawasan sewaktu Kehamilan

Bagi wanita yang mengalami penyakit buah pinggang yang stabil sebelum hamil, kehamilannya tidak akan membahayakan fungsi buah pinggang dalam masa jangka panjang. Namun demikian, gangguan buah pinggang mungkin berlaku buat pertama kalinya semasa kehamilan. Para doktor juga harus berhati-hati kerana SLE yang aktif agak susah untuk didiagnosa semasa kehamilan kerana ciri-cirinya hampir sama dengan ciri-ciri kehamilan biasa.

Adalah lebih baik bagi pesakit yang hamil melakukan pemeriksaan di klinik-klinik gabungan (obstetrik dan perubatan). Riwayat pesakit dan pemeriksaan fizikal merupakan perkara penting dalam pengawasan aktiviti penyakit semasa kehamilan. Kawalan awal terhadap aktiviti penyakit amat perlu. Penilaian awal termasuklah:
** Ujian untuk antibodi anti-Ro dan anti-La
** Ujian bagi antibodi antifosfolipid bagi mereka yang pernah mengalami keguguran
Perawatan Pesakit SLE yang Hamil

Ubat-ubatan yang boleh digunakan semasa kehamilan adalah:

**Aspirin atau ubat anti-radang yang tidak mengandungi steroid (NSAIDs), yang digunakan untuk melegakan sakit sendi atau otot. NSAIDs selain daripada aspirin harus dielakkan semasa trimester ketiga.
** Ubat anti-malaria seperti Plaquenil adalah berguna untuk mereka yang mengalami penyakit kulit dan sendi.
** Prednisolone pada dos yang rendah. Oleh kerana kehamilan hanya dirancang semasa penyakit terkawal, kebanyakan pesakit telah pun mengambil prednisolone pada dos yang rendah apabila mereka hamil. Oleh kerana terdapat risiko seperti kencing manis dan darah tinggi, para doktor mesti cuba memastikan pesakit mengambil prednisolone tidak lebih daripada 10mg sehari.
Jika penyakit SLE menjadi aktif, methylprednisolone boleh digunakan secara intravena(drip). Cyclophosphamide harus dielakkan kerana kaitannya dengan kecacatan kelahiran.
Keputusan Menghentikan Kehamilan

Untuk keputusan menghentikan kehamilan, para doktor akan mengambilkira faktor-faktor berikut:

- Adakah kesihatan ibu berkemungkinan menjadi bertambah buruk jika kehamilan diteruskan?
- Adakah bayi berkemungkinan membesar dengan lebih baik jika dilahirkan berbanding berada di dalam kandungan?
Komplikasi ibu biasanya lebih berkaitan dengan kehamilan dan bukannya penyakit SLE. Samada melahirkan bayi atau menjalani pembedahan adalah satu keputusan obstetrik. Isu-isu yang khusus kepada SLE jarang menentukan cara bayi dilahirkan, walaupun ianya boleh meningkatkan kesegeraan untuk pembedahan.
Waktu Dalam Pantang

Pesakit dinasihatkan mengambil ubat steroid dua atau tiga bulan selepas bersalin jika penyakit SLEnya aktif sepanjang kehamilan. Pesakit harus berjaga-jaga kerana penyakit SLE kerap menjadi aktif sewaktu trimester kedua dan ketiga serta waktu selepas bersalin. Kakitangan neonatal juga perlu diberitahu mengenai status anti-Ro dan anti-La pesakit.

Penyusuan Bayi

Pesakit SLE boleh menyusukan bayi mereka. Pada umumnya, hanya sedikit sahaja steroid yang mengalir ke dalam susu ibu, terutama sekali apabila pesakit mengambilprednisolone pada dos yang rendah. Kesan agak kecil jika ibu mengambil 20mg prednisolone atau kurang setiap hari. Pendedahan bayi kepada steroid boleh diminimakan lagi dengan menyusukan bayi sebelum mengambil ubat prednisolone. Anti-koagulan seperti heparin juga selamat, sementara cyclophosphamide tidak selamat.

Lupus Neonatal

Lupus neonatal adalah gangguan yang berlaku pada bayi yang baru lahir di mana auto-antibodi di dalam darah ibu (yang dipanggil anti-Ro dan anti-La) berkemungkinan menyebabkan ruam kulit dan merosakkan tisu konduksi jantung janin. Biasanya terdapat ruam kulit di antara bulan pertama hingga ketiga selepas kelahiran. Namun demikian, ruam-ruam ini akan hilang selepas lebih kurang enam bulan tanpa rawatan. Walaubagaimanapun kes-kes ini jarang berlaku (kurang daripada 2%), jika terdapat sekatan jantung pada bayi, keadaannya tidak boleh pulih dan bayi memerlukan “pacemaker”.

Sindrom Antifosfolipid

Pada tahun 1983, Dr. Graham Hughes telah memperkenalkan satu sindrom yang digelar “darah melekit”. Sindrom ini dikaitkan dengan kehadiran antibodi kepada fosfolipid. Biasanya dua ujian diperlukan – antibodi kardiolipin dan lupus anti-koagulan. Ciri-ciri utama sindrom antifosfolipid adalah:

- Berlaku darah beku
- Keguguran kandungan yang berulang
Ciri-ciri lain termasuklah kiraan platelet yang rendah, ruam kulit yang bertompok, migrain, dan ujian darah antibodi antifosfolipid yang positif.
Bagi mereka yang mengalami Sindrom Antifosfofolipid, keguguran kandungan biasanya berlaku pada timester kedua. Rawatannya ialah dengan mengambil aspirin dan heparin. Pengambilan heparin akan diberhentikan sebaik proses bersalin bermula dan disambung kembali selepas bayi dilahirkan. Risiko darah beku yang paling utama kepada ibu ialah waktu selepas bersalin.
Zaman Kanak-Kanak

Walaupun tidak banyak terdapat kajian susulan mengenai anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mengidap SLE, risiko kanak-kanak berkenaan mendapat SLE adalah sangat rendah. Didapati juga bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai ketidakupayaan pelajaran yang lebih berbanding kanak-kanak perempuan.





p/s: nisbah pesakit SLE antara lelaki dan wanita ialah 1 : 9 dan lebih kurang 90% pengidap adalah wanita


5 comments:

  1. Replies
    1. haip!! kahwin pun belum, macam mana nak hamil bangfairus .. hihiii... ni saja2 deno kongsi info sket :)

      Delete
  2. info yg menarik deno.... sekurang2nya pembelajaran buat semua...... tapi Kita percaya pada Kuasa Allah kan....

    ReplyDelete
  3. Tuhan anugerahkan Deno dengan penyakit dan menambahkan ilmu pengetahuan kita semua. Nice sharing dear!

    ReplyDelete