Showing posts with label Peristiwa Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia. Show all posts

Habil Dan Qabil - Peristiwa Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia

Perkongsian daripada rancangan Kalamullah yang deno tonton semalam.. Peristiwa pembunuhan yang pertama dalam sejarah manusia. Jom kita baca kisahnya ~


Habil dan Qabil, keduanya adalah anak kepada Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama di muka bumi ini, Al-Qur'an mengisahkan tentang keduanya agar menjadi iktibar dan hikmah orang-orang mu'min.

Qabil adalah seorang yang bermental buruk, selalu melakukan keburukan, dosa, tamak dan menentang kebenaran. Habil adalah saudaranya, seorang yang soleh, taqwa dan selalu berbuat kebenaran. Di antara keduanya sering timbul perselisihan. Habil selalu mempertahankan kebenaran, sedang Qabil selalu menentangnya.

Perselisihan antara keduanya sering terjadi hingga akhirnya sampai ke suatu tahap yang kritikal, iaitu peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Qabil terhadap adiknya, Habil.


Dikisahkan bahawa Nabi Adam a.s. mempunyai dua pasang anak kembar yang pertama dilahirkan oleh isterinya, Siti Hawa. Setiap kembar itu terdiri dari seorang laki-laki dan perempuan. 

Pasangan yang pertama, Qabil dengan saudara kembar perempuannya Iqlima dan yang kedua Habil dengan saudara kembar perempuannya perempuannya, Lubuda'.

Demi menjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada Nabi Adam a.s. agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dijodohkan dengan adik Habil, iaitu Lubuda dan Habil dengan adik Qabil, iaitu Iqlima. Cara yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam a.s. telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka.

Namun, rancangan yang diputuskan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Qabil dengan alasan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil kerana Lubuda tidak secantik adiknya sendiri, Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut menikahi adiknya, Iqlima dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan kepada Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama ahli keluarga dan sesama suku.

Kerana Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima, maka Nabi Adam a.s. secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa kedua-dua puteranya harus menyerahkan korban kepada Allah SWT dengan syarat bahawa barangsiapa di antara kedua puteranya itu diterima korbannya, maka ia berhak menentukan pilihan jodohnya.


. . . . . . . . . .


Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang diusulkan oleh ayah mereka. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya, sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil tanamannya yang rosak. Kemudian kedua korban itu diletakkan di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas kedua jenis korban tersebut.

Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Nabi Adam a.s. yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun dari langit menyambar kambing korban Habil sedangkan karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tidak terjejas.

Oleh yang demikian, Habil diisytihar sebagai pemenang kerana korbannya telah diterima oleh Allah SWT. Maka, dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dinikahinya.


Dengan datangnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak qurban Qabil, maka hancurlah harapan Qabil untuk menikahi Iqlima. Ia tidak puas hati dengan keputusan itu, namun tidak ada jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil.

"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil), "Aku pasti membunuhmu." Berkata Habil,"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan demikian itulah pembalasan bagi orang-orang zalim." Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya. Maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi." (Surah. Al-Maidah: ayat 27-30).

Perkataan takwa yang diucapkan Habil ketika berdialog dengan Qabil, sebenarnya sangat tepat untuk mengingatkan dirinya atau Qabil yang ingin melakukan kejahatan itu. Namun, Qabil bukanlah seorang yang bertakwa. Disebabkan itu, Allah tidak menerima korbannya kerana kedengkian yang meliputi hatinya memuncak dan menimbulkan suatu keinginan keras untuk membunuh adiknya.


Ketika Nabi Adam AS hendak meninggalkan rumah, beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepada Qabil agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga dipelihara sebaik-baiknya, jangan terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan.

Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menjaga amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil. Namun dalam diam dia mula merancang untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil.

Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya, datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini" "Apa salahku? Dengan alasan apakah engkau hendak membunuhku?" tanya Habil.

Qabil berkata: "Kerana korbanmu telah diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk itu."



Habil berkata: "Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan? Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak!"

"Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari ternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah."

"Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."


. . . . . . . . . . 


Pertentangan sengit itu, hakikatnya tidak terjadi pada diri Qabil dan Habil. Tetapi pertentangan sengit yang sebenarnya terjadi antara Qabil dan hawa nafsunya, atau antara Qabil dengan nafsu jahatnya. Dalam keadaan demikian, mestinya Qabil harus bertahan mengekang kerakusan nafsunya untuk melepaskan diri dari hasutan nafsu jahat itu.

Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengari oleh Qabil, namun tidak dipedulikannya dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dihasut oleh iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki di dalam dadanya mulai akan padam, ditiup kembali oleh iblis agar tetap menyala-yala.

Ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana caranya untuk membunuh Habil, menjelmalah iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu dilaksanakan ke atas diri Habil ketika ia tidur dengan nyenyak, maka terkorbanlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.


Pelajaran dari Burung Gagak

Setelah Qabil membunuh saudaranya, dia membiarkan begitu saja mayat adiknya kerana tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Kemudian Allah mengutus dua ekor burung gagak di hadapannya. Kedua burung itu berkelahi hingga akhirnya terbunuhlah salah satu di antaranya.


Gagak yang masih hidup kemudian mengorek tanah dengan paruh dan kakinya. Setelah selesai, dilemparkannya gagak yang sudah mati itu ke dalam lubang dan ditimbus kembali dengan tanah.

Ketika Qabil melihat gagak itu menguburkan gagak yang dibunuhnya tadi, tersentuhlah hatinya. Ia tidak merasa lega hatinya kalau dirinya kalah dengan seekor gagak dalam masalah kebaikan. Maka, dikuburkanlah saudaranya ke dalam tanah kemudian ia menyesali perbuatannya seraya berkata, "Kenapa diriku ini hanya memiliki lebih sedikit penghormatan kepada yang lain dibandingkan dengan seekor gagak."

Inilah maksud dari firman Allah tersebut berikut ini:

 "Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya." Berkata Qabil,"Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" Kerana itu jadilah ia seorang di antara orang-orang yang menyesal." (Surah Al-Maidah: ayat 31).

Kemudian, kembalilah Nabi Adam AS kepada keluarganya. Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah ia kepada Qabil: "Di manakah Habil berada? Aku tidak melihatnya sejak aku pulang." Qabil menjawab: "Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."

Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Nabi Adam AS dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu. Akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya. Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan.

Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berserah kepada Allah SWT dan menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniakan kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.

xxxxxxxx

Dari kisah ini, banyak hikmah yang kita dapat kan.. Kita perlu jauhi sifat iri hati dan hasad dengki, mengawal hawa nafsu dan perlulah kita berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu perkara. Kalau semua ni ada dalam diri kita, deno pasti ianya akan berakhir dengan seribu penyesalan... Wallahua'lam ~